Tuesday, April 12, 2011

Profile Kami


NAMA

NO. MATRIC

ASAL
RADEEYAH BT CHE SHAMAH

025904
SHAH ALAM, SELANGOR
NORUL AKMA BT MOHAMAD YUSOP

025509
PEKAN, PAHANG
AISHAH BT OMAR

025349
MARANG, TERENGGANU

Saturday, April 9, 2011

Kuatkah Daku Andai Tiang Itu Masih Rapuh?

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost that your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can't see which way to go
Don't despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah...
Telefon bimbitku berulang-ulang kali mendendangkan lagu InshaAllah nyanyian penyanyi arab terkenal, Maher zain. Oleh kerana lagunya sangat menenangkan serta menyentuh kalbu,aku menjadikannya sebagai nada dering untuk jam locengku di telefon bimbit.Tanganku pantas meraba ke bawah bantal mencari telefon bimbitku. ”Hah,dapat pun!” Dengan bersusah payah aku membuka mata dan...
Astaghfirullahalazim! 6.07 pagi?
Aku kesiangan lagi pagi ini dan yang paling menyedihkan solat subuhku ‘gajah’ lagi.Mungkin bukan gajah tetapi ‘dinosaur’ layaknya kerana kini subuh di Mesir masuk waktu seawal sekitar 4.15 pagi.Masuk pagi ini sudah tiga kali berturut-turut aku terlewat bangun untuk mengerjakan solat subuh.
Lantas aku beristighfar lagi sambil melompat dari atas katil. Langkahku dipercepat.Tiang agamaku tidak mungkin kubiarkan terus rapuh. Biar sudah terlambat, solat harus dikerjakan dan keampunan harus kupinta daripada Yang Maha Pengampun.
Matahari semakin terik. Peluh cepat sahaja bertelur di dahiku. Mujur kelas selama enam jam berturut-turut sudah pun tamat, alhamdulilah. Namun ada sesuatu yang kukesali. Walaupun si pensyarah hebat dalam menerangkan ilmu-ilmu medik kepada kami, nampaknya aku gagal memahaminya dengan baik.
Aku tidak dapat fokus sedang teman-teman yang lain tersenyum lebar sambil memuji-muji kehebatan si pensyarah tadi menghurai tajuk pelajaran pada hari ini. Muhasabahku mengingatkan aku kepada solat subuh yang terlewat pagi tadi. Mungkin inilah akibatnya apabila solat subuh yang merupakan permulaan hari pun tidak dikerjakan pada waktunya. Bibirku melafazkan istighfar lagi.
Setibanya aku di asrama MARA, aku terus mengajak ahli baitku mengerjakan solat asar berjemaah. Kali ini solatku lebih khusyuk seolah-olah ingin berlama-lama ‘menghadap’ Dia demi memohon keampunan dari setiap penjuru khilaf yang telah ku perbuat. Usai solat, wirid yang aku imami sengaja aku panjangkan dek kerana perasaan rasa bersalahku padaNya masih berbaki.
Satu jam lagi Madrasah al-Razi akan bermula. Hendak mengulangkaji pada waktu petang-petang sebegini selalunya apa-apa yang dibaca susah sedikit mahu difahami, tambahan pula memang aku sudah terbiasa belajar selepas solat maghrib. Untuk mengisi masa lapang ,ku buka komputer ribaku untuk menyemak emel. Tiba-tiba ‘offline message’ dari Kak Mardhiah,mahasiswi usuluddin Universiti Al-Azhar muncul di skrin.
Dalam hadis Nabi SAW disebutkan:
Orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibandingkan dengan orang yang membakar 70 buah Al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Kaabah. Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan disiksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.
Aku terkedu. Mesej yang diterima betul-betul terkena di batang hidungku sendiri. Tidak dapat kubayangkan betapa seksa dan dahsyatnya azab Allah SWT. Air panas yang terkena ditanganku semasa membancuh teh pagi tadi pun sudah cukup membuatku terjerit, apatah lagi azab Allah yang maha pedih.
”Nauzubillah min zalik”, ucapku dalam hati.
Sememangnya pagi tadi aku bukan sengaja melewatkan solat subuhku.Aku cuma terlewat bangun kerana kepenatan belajar sehingga terbawa-bawa ke dalam lena yang panjang. Namun perasaan bersalah terasa kuat sehingga diri terasa hina. Ah,lama sungguh aku melayan perasaan. Madrasah al-Razi bakal bermula sebentar sahaja lagi.
Tingkat 3 bangunan MARA Iskandariah sudah dibanjiri dengan kedatangan mahasiswa dan mahasiswi. Seperti biasa,bilangan akhawat melebihi bilangan ikhwah yang hadir. Tidak lama kemudian,Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai ‘Akhi Salman' di alam maya tiba diiringi beberapa orang ikhwah.
Syukur pada Allah kerana dengan adanya insan yang bersungguh-sungguh mahu berkongsi ilmu seperti Ustaz Salman, kami mendapat pelbagai ilmu yang sudah semestinya tidak mungkin diperolehi di Fakulti Perubatan. Meskipun sistem pembelajaran tampak menarik diselang-selikan pula dengan lawak-lawak ustaz yang pastinya mengundang tawa, tumpuanku agak terganggu dengan kehadiran ikhwah yang seorang ini.
Petang ini, dia kelihatan bersahaja memakai baju melayu berwarna biru laut, warna kesukaanku. Tambahan pula, dia memilih untuk duduk betul-betul sebaris denganku. Ah,Allah memang sengaja ingin menguji keimananku. Pandanganku asyik tertumpu ke arah pemuda itu. Entah mengapa hatiku berkenan sungguh padanya. Mungkin kerana akhlaknya yang baik, ditambah pula dengan sikapnya yang peramah serta berkepimpinan. Tetapi dia tidak pernah mengetahui bahawa aku mengaguminya dalam diam. Cuma terdaya memandangnya dari jauh.
Lamunanku terhenti apabila ustaz menyentuh bab hati. Tumpuanku bertambah semula. Ada kata-kata ustaz yang merenggut ketenangan di hatiku. Kata ustaz, semasa solat kita hendaklah khusyuk kerana apabila kita teringat perihal dunia sedang bibir memuji kebesaranNya, Allah akan berkata dengan nada yang sedih:
”Yang mana lebih penting? Aku atau perihal dunia yang kau ingat itu?”.
Kemudian apabila kita teringat lagi perihal dunia buat kali kedua setelah datangnya khusyuk, Allah akan bertanya soalan yang sama buat kali kedua. Dan apabila kita teringat perihal dunia buat kali ketiga, Allah tidak akan bertanya lagi. Jika Allah sudah tidak hiraukan kita lagi, adakah solat yang kita laksanakan akan diterima?
Aku terus tersentak. Kelas Madrasah al-Razi kali ini betul-betul memberi impak besar pada diriku. Dadaku terasa bagai dihempap. Sedih, terkilan, menyesal, semuanya menjadi satu. Seisi kelas terdiam seribu bahasa bagai bermuhasabah sendiri pada waktu itu juga.Ya Allah,orang yang melaksanakan solat, tiang agamaMu pun ada cacat celanya apatah lagi orang yang menunaikan solat tetapi di hujung-hujung waktu sepertiku ini. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini.
Kali ini mataku tidak terarah ke arah sang pemuda itu lagi. ”Maksiat mata!”, bentak hatiku. Aku bertekad,perasaan ini tidak harus dilayan dan solat selepas ini akan kukerjakan dengan sebaiknya walau terpaksa berperang dengan diri sendiri melawan kemalasan serta hasutan syaitan. Ya! Aku harus kuat untuk menjadi muslim yang sejati. Biar Islam pada diriku bukan sekadar tertulis hanya pada nama, tetapi biar terzahir pada hati, lafaz serta perbuatanku.
Allahuakbar,allahuakbar....
Azan sudah pun berkumandang. Alhamdulilah, pada kali ini aku berjaya menunaikan solat Subuh pada awal waktu. Aku berasa sangat sehingga di kelas pun aku masih tersenyum. Pada sujud terakhir, ada air mata keluar berlinangan dari kelopak mataku. Alangkah indahnya jika kita sentiasa hidup dalam keimanan. Alhamdulilah...

Keberkatan YangKu Cari

Pada kebiasaan petang, Azlan dan keluarganya berkumpul bersama-sama kerana Abi (ayah) dan Umi (ibu) Azlan mengajar pada waktu pagi manakala Azlan sekolah, jadi petanglah waktu yang sesuai untuk mereka berkumpul. Azlan merupakan anak tunggal pasanagn suami isteri ini.
Pada suatu petang, Azlan bertanyakan kepada abinya, "abi, bagaimana kita nak carikeberkatan hidup", kata Azlan kepada ayahnya.
Ayahnya seorang ustaz di salah sebuah sekolah menengah di ibu negara. Ayahnya dikenali sebagai Ustaz Amar. Selepas mendengar kata-kata daripada Azlan, ayahnya terdiam seketika dan mencari jalan untuk menjawab soalan itu yang semasa itu beliau sedang menanda kertas ujian bulanan pelajar sekolahnya.
Ibu Azlan (Ustazah Najihah) lalu dihadapan anaknya itu sambil membawakan air untuk suaminya itu. "Bang, ini air, hilangkan sedikit dahaga abang tu", Ustaz Amar berterima kasih kepada isterinya itu sambil masih terfikir-fikir akan soalan anaknya itu. Ustazah Najihah merupakan guru besar di salah sebuah sekolah agama di ibu negara.
Tiba-tiba talefon rumahnya berbunyi, "kring,kring,kring". Tiga kali deringan lalu disambut oleh Azlan, "Assalamualaikum, siapa yang bercakap??, hendak bercakap dengan siapa??..". Kata Azlan pada individu yang menelefon itu.
"Azlan, siapa ditalefon itu", kata Ustazah Najihah kepada anaknya itu, "Cikgu Zahir, umi" sahut Azlan. Cikgu Zahir merupakan teman kepada bapanya.
Ustaz Amar lantas bangun menerima panggilan talefon itu digangang talefon rumahnya dan meneruskan perbualan bersam Cikgu Zahir manakala Ustazah Najihah masuk ke dapur dan Azlan mengulangkaji pelajaran di biliknya.
Azlan mahu mencari jawapan kepada persoalannya siang tadi, "bapaku seorang ustaz yang berkelulusan dari Mesir, kenapa dia tidak menjawab soalan yang aku tanyakan tadi?? Bukankah dia seorang ustaz yang banyak menjawab soalan anak-anak muridnya??", Azlan memikirkan tentang soalannya yang belum lagi terjawab sehingga dia terlena.
"Azlan bangun! Azlan bangun! Azlan bangun! Ustaz Amar mengejutkan anaknya itu dari luar. Pada kebiasaan pagi Ustaz Amar dan Ustazah Najihah mengejutkan anaknya itu untuk bersama-sama menunaikan solat subuh berjemaah sebelum ke sekolah.
"Asalamualaikum Warahmatullah", "Asalamualaikum Warakmatullah". Selesai mereka solat pada pagi itu dan Ustaz Amar membaca doa dan terus bersiap-siap untuk menuju ke sekolah.
Ustaz Amar adalah guru tingkatan Azlan. Semasa sarapan, Azlan bertanyakan kepada ayahnya, "Abi, Azlan dapat A atau tidak dalam subjek Bahasa Arab? Ustaz Amar menjawab, "kamu mesti banyak lagi beri tumpuan sewaktu belajar, jangan leka sahaja". Azlan sedih akan jawapan daripada ayahnya itu dan dia tahu bahawa dia tidak mendapat A dalam subjek tersebut.
"Abi, abi jawablah soalan Azlan semalam..", tanya Azlan kepada ayahnya tentang soalan yang semalan. Ayahnya terdiam lagi. "Kenapa ayahku susah untuk menjawab soalan aku ini? Apa salahku?" Macam-macam yang difikirkan oleh Azlan.
"Azlan, nanti kamu akan tahu juga jawapannya, maafkan abi kerana melengahkan jawapan kepada soalan itu", bisik Ustaz Amar dalam hatinya sendirian.
Pada pagi itu ada perhimpunan di sekolah Azlan.
"Kring, Kring, Kring", bunyi talefon bimbit Ustaz Amar kedengaran. Ustazah Najihah yang menelefonnya. "Maaf saya ada di perhimpunan, saya mesej awak ye?.." kata Ustaz Amar kepada isterinya lantas mematikan talefon bimbit tersebut.
"Najiha, abang belum jawab lagi soalan anak kita itu, abang akan jawab semasa mengajar di kelas dia nanti?"
Itulah petikan SMS daripada Ustaz Amar kepada isterinya.
4 minit kemudian Ustazah Najiha membalas, "abang, jangan lewat membalas jawapannya, nanti dia fikir yang bukan-bukan, saya sentiasa menyokong tindakan abang, lakukan yang terbaik ye abang, saya nak masuk ke kelas, nanti apa-apa saya mesej abang ye, salam".
Azlan di sekolah adalah murid yang paling pintar dalam tingkatannya. Setelah perhimpunan selesai Azlan bertemu dengan Cikgu Rasyidah yang mengajarnya subjek Sejarah.
"Cikgu, cikgu, tunggu sekejap", Azlan mengejar Cikgu Rashidah yang mahu ke kelas 3 A untuk mula mengajar.
"Ada apa Azlan?.." kata ckgu tersebut dengan nada terkejut.
"Saya nak tanya cikgu, saya dapat A atau tidak dalam matepelajaran Sejarah?", kata Azlan menerangkan sebab dia mengejar cikgu tersebut.
"Awak dapat A, Azlan, tahniah, cikgu ada kelas ni, maaf ye Azlan". Cikgu Rashidah terus masuk ke kelas 3 A untuk mula mengajar.
Azlan terus ke kelasnya 5A sambil memikirkan "kenapa aku tak dapat A dalam subjek bahasa Arab?".
Tiba-tiba dia terlanggar Ustaz Amar. 'Asalamualaikum Ustaz", kata Azlan kepada ayahnya itu.
"Waalaikumusalam Azlan, masuk ke kelas, cikgu dah mula nak mengajar ni."
"Baiklah cikgu, maafkan saya cikgu", kata bualan antara Azlan dan ayahnya, Ustaz Amar.
Dikelas 5A, Ustaz Amar membahagikan kertas ujian bulanan kepada pelajar kelas tersebut termasuk Azlan.
"Mohd Farhan bin Abdul Ghani, 87, Nurul Nadia binti Musa 88, Mohd Fairuz bin Mohd, 89,Umi Iryani binti Sipon, 90, Mohd Azlan bin Amar Faiz, 98".
Azlan terkedu seketika. Manakan tidak dia ingatkan keputusannya kurang baik.
"Kadang-kadang manusia mudah putus asa akan rahmat Allah sebelum melakukan sesuatu, kadang-kadang manusia terlalu mahukan yang terbaik tanpa berusaha yang terbaik, kadang-kadang manusia jahil dalam ilmunya tanpa berusaha memperbaikinya, ingatlah kebekatan dalan hidup ini perlukan hijrah ke arah yang makruf.
Segala hijrah yang kita lakukan ke arah yang baik pasti Allah berkati. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, 'Sebaik-baik manusia itu adalah yang bermanfaat'. Dan untuk menjadi orang yang bermanfaat, tidak semestinya kita perlu jadi orang yang berjaya, bekerjaya dan berpengaruh".
Itulah jawapan Ustaz Amar akan persoalannya semalam.
Azlan faham, bukan kepandaian dalam pelajaran semata-mata kita akan mendapat keberkatan Allah. Ayahnya tidak mahu Azlan hanya pentingkan  pelajaran sahaja tapi jadilah orang yang bermanfaat untuk segala kebaikan atas dunia ini. Moga kita terus menjalani hidup di muka bumi ini dengan perkara yang disukai Allah.

Kasih Ilahi

Indahnya kasih Ilahi,
Sucikan dengan kewajipan,
Kau rasai satu kenikmatan,
Hidup dibawah taklukanNya...
Hiasilah diri dengan keimanan,
Tingkatkan ketaqwaan,
Tunaikanlah kewajipan,
Pada Allah yang menciptakan...
Semesta...
Warnailah kehidupanmu,
Iman itu mutiara penghias diri,
Peliharalah ia dengan kesungguhan,
Demi cintamu pada Allah...
Ya Rahman...
Dia yang memberi,
Dia Maha mengasihi,
Bersyukur cara terbaik,
Semakin kau meminta padaNya...
Moga dikau akan merasai,
Betapa indah kasih Ilahi,
Ku yakinkan kau akan dirahmati...
Betapa indahnya nikmat Ilahi,
Memohon doa kepada Tuhan,
Rasul junjungan diteladani,
Dunia akhirat kita imbangi...

Dairi Sang Ayah

26 Januari 1992.
Hari ini, menjadi titik indah buatku. Hadirnya cahaya mata ini mengutuhkan lagi hubungan kami sebagai sepasang suami isteri. Telah lama ku tunggu saat ini menjadi kenyataan, terima kasih tuhan, aku teramat mensyukuri nikmatmu. akan ku sujud syukur sebagai tanda syukur padaMu, yang telah mengabuli doa kami. terima kasih Tuhan, akan ku jaga sang anak ini, dengan sepenuh kasih cinta. Akan ku lengkapkannya dengan agamaMu, agar cintanya hanya kepada agama, agar menjadi muslimah sejati.

26 Januari 1995.
Happy birthday sayang! semoga kamu membesar dengan penuh rasa cinta, ibumu senantiasa tersenyum melihat telatahmu yang baru belajar berdiri. Ternyata kamu sangat pintar dan cepat belajar, alhamdulillah... Semoga kamu menjadi pesona ibu dan ayah.

Januari 1998.
Hari ini merupakan hari pertama kamu melangkahkan kaki ke alam persekolahan. Ayah menghantarmu sehingga ke kelas. Kamu menangis di kelas, meminta ayah tunggu. Sayang, janganlah bimbang, di sini  kamu akan memperoleh ramai rakan dan menimba ilmu dari guru. Ayah yakin kamu akan gembira di sini.

Januari 1999.
Pertama kali melangkahkan kaki ke sekolah rendah, ayah sudah merapikan bajumu, tudung dan perkakasan sekolah, sedang ibumu sedari pagi sibuk menyiapkan sarapan dan juga bekalan. Sebentar lagi ayah akan mengejutkan kamu dari tidur biarlah ayah menatap wajah cahaya mata kesayangan ayah ini dahulu, untuk beberapa saat. Sangat comel anak ayah semasa tidur.

November 2003.
Hari ini, kamu pulang dengan senyuman, di tangan kananmu tergenggam erat sekeping slip, dengan mata yang berkaca, kamu berlari lari lalu memeluk erat ibu,dan mencium tangan ayah. Perasaan sebak timbul di hati.sambil mengucapkan ''terima kasih ayah, ibu adik berjanji akan belajar dengan bersungguh sungguh lagi,". Tahniah anakku, tidak sia-sia usaha kamu selama ini. Slip peperiksaan yang tertera huruf A berdarab lima menjadi bukti kesungguhanmu menimba ilmu, teruskan usahamu wahai anak.

Januari 2004.
Alam persekolahan sememangnya indah dan mencabar, sekolah menengah adalah perjalanan seterusnya untukmu berjaya. Teruskanlah perjuanganmu. Ayah bangga mempunyai anak sepertimu, menjagamu, melihatmu tersenyum riang, melihatmu dewasa, menjadi sesuatu yang takkan pernah ayah menyesal..:)

27 Januari 2007.
Hari ini, hati ayah sedikit runsing. Ayah terjumpa surat-surat cinta dari dalam beg sekolahmu, dan sms di telefon bimbitmu memberitahu ayah, bahawa anak ayah sudah pandai bermain cinta. Sememangnya cinta adalah pemberian Tuhan. Tetapi ketahuillah anak, usiamu belum mengizinkanmu untuk ini. Ayah meletakkannya kembali, demi tuhan, ayah sangat risau. Ayah akan cuba sebaik mungkin untuk meluahkan kepadamu, sedewasa mungkin. Ayah tahu kamu kini seorang remaja, ingin dilayan seperti seorang dewasa, ayah faham.

11 p.m.
Ayah terkejut dengan perlakuanmu. Ayah cuba untuk menerangkan kepadamu hal yang sebenar, bukan perasaanmu itu dilarang, namun waktu saja belum tepat untuk merasakan semua, tetapi kamu meninggikan suara, bila ayah menasihatimu, kamu menengking ibumu. Ibumu sedari tadi menangis, lalu tertidur dalam tangisannya. Anakku, ayah sedikit kecewa dengan sikapmu, ketahuilah, kami yang menjaga makan minummu sedari kecil, kamilah yang menyayangimu sepenuh hati, bukan dia.

28 Januari 2009.
Sekali lagi air mata ibumu tumpah dengan sikapmu. Pagi tadi ibu membersihkan bilikmu, agar nampak kemas, sedang ibumu menyapu,i bu terjumpa sebuah beg berwarna ungu. Ibu membuka zip beg tersebut kerana merasa curiga., langkah terkejutnya ibumu, pakaian-pakaian di dalam beg tersebut bukanlah hasil pembelian ibu mahupun ayah. Skirt pendek dengan warna yang pelbagai, baju tanpa lengan, seluar jeans ketat, dan alat kontrasepsi! UNTUK APAKAH ITU WAHAI ANAK! dan tanpa rasa bersalah pula kau mengakui pakaian itu hak mutlak kamu. Bukankah ayah memberikanmu didikan agama yang sempurna?
Lalu siapakah yang mengaji di hadapan ayah dari muqaddam sehingga khatam al quran? Siapakah yang menjadi ma\mum ayah selepas ibu? Siapa pula yang ayah hantar ke sekolah agama setiap petang? Siapa duhai anak? Siapa? Ibumu pengsan selepas solat maghrib tadi. Sedang engkau hilang entah ke mana, curi keluar, tanpa kami sedari.
26 Februari 2010.
Ibarat dipanah petir hati ayah dan ibu apabila mendengar pengakuanmu, "ayah,ibu...adik hamil" ya Allah, apalah dosa-dosaku ya Allah?!. Beratnya beban yang kau beri. Gelap pandangan ayah mendengarkan itu, ibumu? menangis, meraung, memikirkan cahaya matanya yang sudah jauh dari agama. Kurangkah didikan kami?. Kurangkah belaian kasih sayang kami?. Setelah kami tatang kau ibarat minyak yang penuh, lalu apakah jenis timbalan yang kau beri duhai anak?. Di manakah janjimu dahulu wahai sayang?. Janjimu yang akan belajar bersungguh-sungguh?. Sedang rakan-rakanmu pulang dengan membawa senyuman sambil menggenggam slip peperiksaan dan kau pulang membawa keputusan hamil dari hospital?. Adakah ini cara kau membalas jasa ayah dan ibumu?. Apakah ini wahai anakku. Kau melukakan hati ibu, mengguris hati ayah!. Terbayang di fikiran saat kau dijamah buaya laknat tersebut, cukup membuat hati ayah remuk, hancur, berkecai!.
Apakah kau terlupakan agamamu?. Andai kau tidak cintakan ayah dan ibumu lagi, cintailah agamu duhai anak. Kamu punya tuhan. Tuhan yang maha melihat setiap gerak gerimu! terlupakah kau pada zat yang satu itu? lalu apakah yang akan ayah dan ibu jawab, saat diasak pertanyaan dari sang Tuhan, tentang kegagalan kami mendidikmu?. Tentang kealpaan kami dalam mendidikmu?.
Tahukah kamu wahai anak, perbuatanmu bakal menghantar ibu serta ayahmu ke neraka?. Kau campakkan kami ke dalam lubang yang tersedia panasnya sejak penciptaan bumi, dengan menggunakan tangan-tanganmu sendiri!. Kau relakan jasad ibu dan ayah kau dibantai oleh Malik, si penjaga neraka. Kau biarkan kami meraung-raung dijilat api, dan kau hanya melihat kami disengat binatang-binatang bisa!. Sampainya hatimu. kenapa tidak, engkau ambil sahaja pisau, tusuk ayahmu ini, tuangkanlah racun, beri sahaja ibumu minum! lebih rela kami dibunuh, dari menelan pahitnya kenyataan.
Dan hari-hari yang kami lalui selepas itu, tidak seindah saat mengazankanmu di telinga kanan,dan iqamah di telinga kiri..
Anak menangis, meraung-raung menyesali diri yang kotor dan hina, menyesali diri yang tidak pernah mengenal erti syukur, dikurnai ayah yang sempurna. Namun, tangisan tiada lagi berguna, kerana sang ayah bakal tidur lena. Anak hanya mampu menatap wajah ayahnya yang pucat, untuk kali terakhir, sebelum kembali dikambus tanah...
Peringatan buat aku dan semua, sayangilah ibu dan ayah dan jangan pilih jalan hitam!.
"(Malaikat-malaikat) yang memikul 'arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan):
"Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang bernyala-nyala, ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka kedalam surga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapak -bapak mereka, dan istri-istri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Yang maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan?) kejahatan pada hari itu maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar." (QS.Ghaafir: 7-9).

Cinta Dunia Dan Cinta Akhirat

Setiap manusia mempunyai perasaan cinta dan menyintai. Cinta itu juga mempunyai tafsiran yang luas dan berbeza-beza. Rasa cinta dan sayang itu bukanlah hanya terbatas kepada lelaki dan wanita sahaja. Cinta itu sangat universal dan boleh dizahirkan dalam apa jua bentuk dan apa jua keadaan. Rasa cinta itu boleh diterjemahkan kepada rasa cinta terhadap kerjaya atau kerja, harta, ilmu dan sebagainya.
Namun dalam dunia serba moden ini, apabila menyentuh mengenai cinta ia akan ditujukan kepada sama ada cinta antara lelaki dan wanita ataupun cinta manusia kepada kebendaan iaitu harta dan kemewahan. Pemikiran jumud begini boleh menjadikan manusia hamba duit tanpa memikirkan mengenai akhirat.
Namun begitu masih ada yang bijak menguasai dunia dan mengharapkan kebaikan di akhirat. Mereka ini adalah golongan yang beruntung kerana diberikan ni'mat untuk merasai kedua-duanya. Dan seharusnya mereka memperolehi keberkatan ini hanyalah kerana pencarian mereka yang seimbang antara dunia dan akhirat tanpa lalai walaupun dalam seminit.
Sesungguhnya mereka seperti ini telah disebutkan oleh Allah SWT yang bermaksud, "Dan bersabarlah kamu bersama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi hari dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasnya ." (Surah al-Khafi : 28)
Sebagai seorang Muslim yang akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak perlu mempersiapkan diri untuk mendapat kecintaan yang hakiki di akhirat nanti. Memang benar, kehidupan di dunia juga perlu dititikberatkan bagi membawa satu imej yang hebat di mata-mata musuh Islam. Namun begitu, segala kekayaan dan kemewahan itu pula, hendaklah jangan kedekut untuk dibelanjakan bagi mencapai kesenangan di akhirat.
Itulah yang dinamakan keseimbangan antara kehendak dunia dan keperluan akhirat. Namun, ramai yang pada hari ini apabila sudah menemui kejayaan di dunia akan melupakan kehidupan selepas kematian nanti. Ketika itulah segala amalan di dunia akan diambil kira. Segenap 'sen' harta akan dihisap sama ada digunakan ke jalan Allah ataupun segala kemewahan itulah yang melalaikan hamba-Nya ini.
Penuhi amal dan iman
Satu jalan mudah untuk menjauhi sifat kedekut yang menandakan itulah perasaan terlalu cintakan dunia ialah penuhi dengan amal dan iman. Dua perkara ini mampu membersihkan jiwa dan hati daripada menjadi keras daripada hanya memikirkan dunia semata-mata.
Pernah berkata, Al-imam Sufyan al-Tsauri r.h.m. "Telah sampai kepadaku bahawasanya akan datang satu masa kepada umat manusia di mana pada masa itu semua hati-hati manusia dipenuhi oleh kecintaan terhadap dunia, sehingga hati-hati tersebut tidak dapat dimasuki rasa takut terhadap Allah SWT.Dan itu dapat engkau ketahui apabila engkau telah memenuhi sebuah bakul kulit dengan sesuatu hingga penuh kemudian engkau cuba memasukkan barang lain ke dalamnya namun engkau tidak mendapati ruang untuknya lagi,".